mutakhir

Lima 'mat rempit' positif dadah

Oleh Mohd Zulhairie Manzaidi

LIMA individu termasuk seorang pelajar berusia 15 tahun ditahan polis kerana positif dadah jenis metaphetamine dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Baru Kok Keli ke Bendang Morak di Tumpat, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mazuki Mat berkata, operasi dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat itu bermula jam 6 hingga 9 malam.

Katanya, dalam operasi terbabit pihaknya menahan 36 penunggang dan pembonceng motosikal untuk pemeriksaan.

“Siasatan polis mendapati lima orang positif dadah termasuk seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di sini.

“Kita turut menutup kira-kira lima laluan tikus sebelum menyerbu masuk ke laluan utama yang digunakan oleh samseng jalanan terbabit.

“Dalam operasi itu, polis juga merampas 26 motosikal yang dipercayai digunakan untuk berlumba haram di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, sebanyak 102 saman dikeluarkan dan antara kesalahan ialah tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada cermin sisi dan tidak memakai topi keledar.

“Selain itu, kita turut menahan empat motosikal Honda C-70 kerana tidak mempunyai dokumen selain terdapat gangguan pada enjin dan chasis,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 4:04pm
d