mutakhir

Ahli ada peluang dalam pemilihan - Tun M [METROTV]

Oleh Fahmy Azril Rosli dan Nur Lela Zulkipli

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan diberikan peluang untuk terbabit dalam pemilihan pemimpin tertinggi.

Pengerusi PPBM itu berkata, berdasarkan mesyuarat petang tadi, PPBM bersetuju dengan kaedah itu namun mekanismenya belum lagi diperincikan.

“Pilihan kita adalah memberi peluang kepada semua ahli dalam pemilihan pemimpin," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi PPBM di Yayasan Selangor, Petaling Jaya, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan bila pemilihan akan berlangsung kerana perkara itu akan diputuskan kelak.

Selain itu, dalam mesyuarat itu, antara perkara yang diputuskan adalah singkatan PPBM tidak lagi akan digunakan sebaliknya Dr Mahathir berkata ia akan digantikan dengan BERSATU.

Katanya, perkara itu baru boleh diputuskan hari ini kerana pernah mendapatkan tentangan kerajaan terdahulu.

“Nama BERSATU dulu tidak boleh guna kerana ada bantahan pihak berkuasa (terdahulu).

“Sekarang kita sudah ada kuasa. Jadi, boleh buat perubahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir juga memaklumkan bahawa ahli PPBM yang terbabit dalam cubaan mensabotaj parti sudah diambil tindakan.

Namun, beliau menegaskan, tindakan yang diambil terhadap ahli berkenaan tidak sampai memecat mereka.

“Kita sudah ambil tindakan tatatertib kepada ahli yang menolong parti lain dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Tidak perlu sebut siapa dan berapa ramai. Yang pasti mereka ini pernah adakan sidang media memburuk-burukkan parti,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 7:51pm
d