mutakhir

Tekad perjuang hak rakyat

Oleh Norrasyidah Arshad

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam mahu membantu rakyat mendapatkan hak mereka sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, pengalaman sebagai Presiden Pemantau Malaysia Baharu memberi keyakinan kepadanya untuk berjuang membantu rakyat.

Katanya, beliau juga mempunyai kelebihan dalam memberi tekanan kepada sesuatu pihak dan akan menggunakan strategi itu bagi mendapatkan hak rakyat.

“Jika saya menang, ia tetap tidak akan merubah pentadbiran kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan.

“Tetapi, saya akan berjuang mempertahankan hak rakyat seperti yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya.

Pada masa sama, Lokman, 45, berkata, isu dirinya sebagai calon luar pasti akan dimainkan pihak lawan.

Bagaimanapun, beliau tidak menganggap isu terbabit sebagai beban kerana kerajaan sedia ada juga sudah lama mengamalkan budaya calon luar dalam PRK atau PRU.

“Jika isu (calon luar) itu yang dimainkan, saya tidak risau dan minta mereka lihat siapa Wan Azizah (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) di kerusi Kajang dahulu dan Parlimen Pandan sekarang,” katanya.

Lokman akan berdepan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni di PRK Sungai Kandis selepas penyandang kerusi terbabit, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU-14 lalu, Mat Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 9:26pm
d