mutakhir

Surat Najib untuk CIA?

DATUK Seri Najib Razak mendakwa, tidak pernah mengarahkan Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menulis surat memohon sokongan Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Bekas perdana menteri yang mengetuai Barisan Nasional (BN) menempuh kekalahan dalam tempoh 60 tahun mentadbir Malaysia pada PRU-14 itu, mendakwa tidak tahu mengenai surat yang diutuskan agensi terbabit, sambil menegaskan semua surat tidak semestinya melalui beliau.

“Saya terkejut. Saya tidak tahu pun kewujudannya. Bukan semua surat kena lalu saya,” katanya seperti dilaporkan portal dalam talian, Malaysiakini, semalam.

Mengulas lanjut, Najib mendakwa, agensi kerajaan termasuk yang berkaitan dengan hal ehwal risikan, mempunyai kuasa autonomi untuk menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan pertimbangan sendiri.

“Sementara saya tidak ada peluang untuk lihat surat itu, apa yang dilaporkan media mencadangkan surat bagi mendapatkan sokongan berterusan AS untuk kerajaan Malaysia jika BN menang dalam pilihan raya bagi tujuan kestabilan selepas pilihan raya.

“Apa yang dilaporkan surat itu tidak dilihat mendapatkan bantuan AS untuk menang pilihan raya, tetapi selepas pilihan raya,” katanya.

Najib menyifatkan, surat terbabit mungkin dihantar agensi terbabit dengan niat memelihara kestabilan negara jika kerajaan (BN) memperoleh kemenangan tipis.

“Mungkin media dapat mendedahkan keseluruhan surat itu supaya orang ramai, termasuk saya, lebih faham,” katanya.

Surat tiga halaman bertarikh 4 Mei itu, ditandatangani Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan JPM, Datuk Hasanah Ab Hamid, diutuskan kepada Gina Haspel selaku Pengarah CIA (Lantikan) ketika itu.

Menerusi surat terbabit, MEIO meminta AS terus menyokong pentadbiran Najib, jika BN menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam PRU-14.

Menerusi surat itu, MIEO menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra AS serta akan terus menyokong kehadiran AS di rantau ini.

Tanpa kehadiran Najib sebagai pemimpin negara ini, agensi itu memberi gambaran yang AS bakal kehilangan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara, memandangkan Filipina sudah memutuskan ikatan dengan AS, sementara Singapura dan Brunei terlalu kecil untuk memberi impak, manakala Thailand serta Indonesia pula terlalu sibuk dengan masalah domestik masing-masing.

Tun Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu mengetuai barisan pembangkang pula disifatkan sebagai anti-Barat, anti-Yahudi, autokratik, menutup mulut pengkritik dengan keras, dan mengabaikan sama sekali hak asasi manusia dan pemerintahan berdasarkan undang-undang.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 11:25pm
d