mutakhir

Penamaan calon PRK Sungai Kandis hari ini

Oleh Tharanya Arumugam

TUMPUAN terarah kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis sebaik semua calon menyerahkan borang pencalonan, hari ini.

Tarikh pengundian juga ditetapkan pada 4 Ogos ini. Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, akan berdepan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam, 45, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Ia adalah PRK pertama diadakan selepas Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan apabila memperoleh kerusi majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

PRK ini juga membawa kerjasama unik antara PAS dan BN, apabila kedua-dua parti itu membuat keputusan untuk meletakan seorang calon sahaja bagi memastikan undi pembangkang tidak terbahagi dua.

Calon PRK Sungai Kandis mempunyai 14 hari untuk berkempen dan menyatakan janji mereka bagi berkhidmat kepada rakyat dan kawasan pilihan raya itu.

Mereka akan menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, hari ini bermula 9 pagi.

Mohd Zawawi yang juga pengetua di Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun, mempunyai Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Al Azhar, Mesir; dan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan kaunseling) dari Universiti Malaya.

Beliau mula terbabit aktif dalam politik sejak zaman Reformasi pada penghujung 1990an. Wajah yang biasa dilihat pada siri ceramah dan perhimpunan itu memberi tumpuan kepada isu Islam dan masyarakat Melayu, keadilan serta berjuang menentang rasuah.

Penduduk di Sungai Kandis nyata tertunggu-tunggu apa yang akan dibawakan calon dari kedua-dua pihak kepada mereka dan kawasan berkenaan.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan Hanafiah Husin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mendapat 76 undi.

• Lagi berita PRK Sg Kandis

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 7:17am
d