mutakhir

HAZMAT 'serbu' MARDI

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Bekas simpanan asid sulfurik bocor menyebabkan bahan berkenaan jatuh ke lantai di makmal Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, terdapat lima botol asid berkenaan diletakkan di atas rak dengan setiap satu mengandungi 2.5 liter bagi tujuan penyelidikan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.45 tengah hari.

“Seramai 11 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang serta Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) daripada BBP Shah Alam dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati bekas simpanan asid sulfurik bocor menyebabkan rak berkenaan terhakis sebelum bahan itu terjatuh ke lantai menyebabkan limpahan asid.

“Hasil penelitian mendapati bahan itu sudah kering dan menjadi hitam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mohd Rizal berkata, pihaknya melakukan kerja pemindahan bekas simpanan yang bocor ke dalam bekas lain sehingga selesai.

“Bahan itu kemudian diserahkan kepada pihak MARDI untuk dilupuskan.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 8:28am
d