mutakhir

Penyokong dah mula berkumpul

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PUSAT Penamaan Calon di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, sudah dipenuhi penyokong parti bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, sejak 8 pagi.

Tinjauan NSTP mendapati ratusan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mula berkumpul di restoran berdekatan pintu masuk dewan berkenaan kira-kira setengah jam sebelum itu.

Turut kelihatan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Suasana ketika ini masih dalam keadaan terkawal dengan diawasi puluhan anggota polis dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Penyokong PH dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zawawi Ahmad Mughni dilihat berarak sambil melaungkan slogan Reformasi, Hidup Rakyat dan membawa bendera dan sepanduk menuju ke pintu masuk dewan itu, 8.50 pagi.

Terdahulu, calon BN yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam, turut kelihatan tiba di pusat penamaan calon itu, 8.30 pagi.

Proses penyerahan borang calon dibuka pada 9 pagi dan pengumuman rasmi akan dibuat pada 11 pagi ini.

Mohd Zawawi dan Lokman bertanding selepas penyandang kerusi itu, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mat Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi itu dengan 23,998 undi selepaskan menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 9:07am
d