mutakhir

Makan di rumah, sembunyi di hutan

Oleh Amin Ridzuan Ishak

RUMAH kongsi yang menempatkan pendatang asing termasuk yang bekerja secara haram biasanya penuh selepas bekerja pada waktu petang, namun ia didapati kosong sejak Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) melancarkan Ops Mega 3.0 bermula 1 Julai lalu bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.

Difahamkan mereka yang tidak mempunyai dokumen sah akan makan serta bersiap di rumah masing-masing selepas waktu bekerja sebelum bersembunyi di hutan berhampiran dengan mendirikan khemah dan kembali semula pada keesokan paginya.

Situasi itu dikesan dalam serbuan Imigresen bermula 6 petang semalam hingga 3 pagi tadi di beberapa lokasi termasuk di rumah kongsi di Batu 12 Jalan Kuantan-Gambang dan Bukit Gambang, Kuantan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya mengesan banyak rumah kongsi di dua kawasan berkenaan dikosongkan oleh PATI dan ada yang turut melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Mereka tidak bermalam di rumah kongsi sebaliknya bersembunyi di hutan, waktu siang mereka kembali ke rumah dan tempat kerja," katanya ketika ditemui selepas Ops Mega 3.0 di penempatan haram PATI di Bukit Gambang.

Dalam operasi di dua lokasi berasingan itu, lebih 80 PATI berusia dua hingga 60 tahun termasuk empat kanak-kanak ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan tiada permit kerja.

Penempatan itu menempatkan pekerja asing bekerja di projek pembinaan rumah dan ia terletak berhampiran kawasan perumahan penduduk tempatan yang terdedah kepada risiko kesihatan berikutan keadaannya yang tidak kondusif serta bersih.

Sementara itu, gelagat wanita warga Indonesia yang mencari suaminya dalam operasi di Batu 12 Jalan Kuantan-Gambang menarik perhatian kerana menyangka lelaki itu membuat kerja lebih masa, namun dia sebenarnya melarikan diri.

"Mana dia? Saya tidak nampak di sini (ketika pendatang asing ditahan dikumpul untuk pemeriksaan), dia beritahu hendak buat OT (kerja lebih masa) hari ini," katanya ketika bertanya kepada rakan suaminya yang juga warga Indonesia.

Difahamkan, suaminya itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa meninggalkan isterinya berusia lingkungan 30-an serta anak perempuan berusia tiga tahun dan anak lelaki berusia dua tahun.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Ajil, Terengganu untuk siasatan.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 10:18am
d