mutakhir

Banyaknya dadah dalam rumah...

Oleh Rosliza Mohamed

ENAM termasuk seorang penuntut perempuan ditahan bersama dadah disyaki pil kuda dan Erimin 5 berjumlah 2,540 biji anggaran RM25,900 di rumah di Kota Bharu, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, semua suspek berusia antara 17 hingga 25 tahun ditahan dalam satu operasi di Kampung Baloh Raja dekat Kubang Kerian, 11.20 malam.

Katanya, tiga daripada mereka ditahan di ruang tamu, dua dalam bilik, manakala perempuan itu ditahan ketika berada di bahagian dapur.

Menurutnya, pemeriksaan dalam rumah di bahagian rak televisyen menemui 100 biji disyaki pil Erimin 5.

"Pemeriksaan dalam bilik tidur itu, polis menemui 40 biji disyaki pil kuda manakala 100 biji disyaki Erimin 5. Kedua-duanya ditemui di atas lantai.

"Selain itu, pemeriksaan di bahagian bawah rak kayu turut menemui 400 biji disyaki pil kuda.

"Dalam laci meja solek turut menemui satu bungkusan dalam sebanyak 2,000 biji disyaki pil kuda," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2) danSeksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, siasatan lanjut juga masih dilakukan berhubung dadah yang diperoleh.

"Ujian saringan terhadap semua suspek adalah negatif. Tiga antara lima lelaki yang ditahan itu bekerja sebagai penjawat awam, peniaga ikan dan pencuci masjid," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 11:54am
d