mutakhir

'Saya bukan orang asing di Sungai Kandis'

Oleh Wartawan NSTP

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berkata, dia bukan orang asing dalam kalangan masyarakat di kawasan ini.

Lokman berkata, ketika memegang jawatan Ahli Majlis Kepemimpinan Tertinggi PKR dahulu, beliau aktif menggerakkan sentimen reformasi dalam kalangan masyarakat di Sungai Kandis, yang sebelum ini dikenali sebagai Sri Muda.

"Jadi, tidak timbul isu saya orang luar dan tidak sepatutnya bertanding di DUN ini. Memang benar saya bukan orang tempatan, tetapi ia bukan isu yang perlu diperbesarkan.

"Jika kita lihat pemimpin lain seperti Presiden PKR (Datuk Seri Dr Wan Azizah) bertanding di Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Begitu juga dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang pernah bertanding di Permatang Pauh.

"Ahli Parlimen Kota Raja (Mohamad Sabu) juga bukan orang tempatan. Jadi, buat apa hendak dijadikan isu," katanya ditemui pemberita selepas menyerahkan borang pencalonan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19, Shah Alam, hari ini.

Lokman berkata, beliau akan membangkitkan isu nasional sepanjang 14 hari kempen PRK Sungai Kandis.

"Isu janji PRU-14 yang masih belum dilaksanakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan kita bangkitkan sepanjang kempen.

"Begitu juga dengan isu agama Islam yang digadaikan, penghinaan terhadap Raja Melayu serta nasib Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang semakin hilang di bumi Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui BN sukar untuk memenangi kerusi DUN itu kerana ia kubu kuat PKR.

"Jika BN dapat tambahan undi yang diperoleh pada PRU-14 pun sudah dikira kemenangan moral kepada BN," katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi berkata memperoleh sebanyak 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan Hanafiah Husin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mendapat 76 undi.

• Lagi berita PRK Sg Kandis

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 12:21pm
d