mutakhir

Kerajaan kaji perketat akta pengasuh [METROTV]

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

KERAJAAN mengakui berlaku kelompongan terhadap undang-undang dan akta yang diguna pakai bagi membendung kes jenayah membabitkan pengasuh bayi dan kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya sudah banyak kali mengadakan perbincangan bersama Pejabat Peguam Negara bagi menilai semula undang-undang dan akta berkaitan.

"Peguam Negara ada maklumkan beberapa undang-undang yang perlu diperketatkan.

"Apabila ada berlakunya kecuaian, kita mesti ketatkan undang-undang dan peraturan yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata, kes membabitkan kematian bayi, Naufal Amsyar Nabil Fikri, 10 bulan selepas dipercayai terjatuh di rumah pengasuh amat menyedihkan.

"Tragedi sebegini amat menyedihkan kerana ini membabitkan masa depan bayi.

"Kementerian turut sedang mendapatkan butiran lanjut berhubung kes terbabit.

"Kita bukan setakat mahu selesaikan kes yang ada tetapi langkah untuk mencegahnya daripada berulang perlu diambil," katanya.

Bayi malang itu meninggal dunia selepas empat hari dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira 9 pagi ini.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 2:47pm
d