mutakhir

Pantai Port Dickson terus dikunjungi [METROTV]

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

TULAR kononnya berlaku serangan ulat bulu laut di pantai Port Dickson sejak beberapa hari lalu secara tidak langsung boleh menjejaskan industri pelancongan di pantai peranginan berkenaan.

Perkongsian di laman sosial Facebook dan WhatsApp itu mendakwa seorang lelaki mengalami penyakit kulit teruk selepas terkena ulat bulu laut ketika mengunjungi pantai terbabit.

Bagaimanapun, semalam Jabatan Perikanan negeri dalam satu kenyataan mengesahkan tiada sebarang kes berkaitan serangan ulat bulu dilaporkan kerana tiada bukti mengenai kejadian itu.

Kakitangan awam, Zulkifli Razali, 39, berkata dia mengetahui mengenai tular itu selepas menerimanya menerusi WhatsApp beberapa hari lalu, namun tidak percaya dengan kejadian terbabit.

Katanya, dia berasa ramai yang percaya bahkan turut berkongsi berita itu walaupun tidak mengetahui sejauh mana kesahihannya.

“Perbuatan berkongsi perkara yang tidak pasti menerusi media sosial tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan itu juga boleh menyebabkan industri pelancongan di daerah ini terjejas kerana orang akan takut untuk berkunjung dan mandi di kawasan pantai di Port Dickson,” katanya.

Selain itu katanya, perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan masyarakat ketakutan, peniaga di pusat peranginan itu turut terjejas kerana kekurangan pengunjung.

“Namun kita harap masyarakat tidak mempercayai berita itu dengan sewenang-wenangnya. Bahkan media arus perdana sudah membuat pengesahan dengan mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan berhubung perkara ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Sungai Buloh, Selangor, Mohd Isa Maasap, 49, berkata dia tidak mengetahui mengenai tular serangan ulat bulu laut terbabit.

Katanya, ini kali pertama dia, isteri dan dua anak datang ke daerah ini untuk bercuti.

“Walaupun sudah disahkan perkara ini tidak benar, tetapi saya dan keluarga sudah pasti akan mengambil langkah berhati-hati dalam pelbagai perkara ketika mandi laut,” katanya.

Katanya, banyak punca boleh menyebabkan penyakit kulit dan alahan terhadap air laut juga menjadi punca penyakit itu terjadi.

Oleh itu katanya, penting untuk lebih berhati-hati ketika mandi laut tidak kira sama ada kerana tular mengenai ulat bulu laut terbabit atau sebaliknya.

Bagaimanapun, tinjauan di sekitar Pantai Bagan Pinang mendapati ramai pengunjung yang mandi di kawasan itu, sekali gus mengabaikan dakwaan wujudnya ulat bulu laut di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 5:12pm
d