mutakhir

Buruh Bangladesh maut ditimpa bahan binaan

Oleh Mohd Hilmie Hussin

BURUH binaan warga Bangladesh meninggal dunia hari ini selepas ditimpa bahan binaan dalam kejadian di tapak binaan di Tehel, Jasin.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari semalam, mangsa Sharif Jahan, 37, dikejarkan ke Hospital Melaka sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 pagi ini ketika menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa bekerja menyambut binaan batu-bata dari kren ketika menyiapkan binaan salah satu rumah di kawasan pembinaan terbabit.

Katanya, ketika bahan binaan diturunkan, kayu pelet terbabit patah lalu bahan binaan itu menimpa mangsa.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapat rawatan

“Kira-kira 19 jam kemudian, pihak hospital menghubungi polis mengesahkan mangsa meninggal dunia pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat hentakan benda keras di kepala.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 6:23pm
d