mutakhir

Memang licik !

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

SINDIKET mencuri lembu dan kambing untuk dijual sebagai binatang korban sempena Aidiladha semakin licik apabila pelaku menggunakan kenderaan membawa kuda bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu dapat dikesan apabila polis berjaya menumpaskan sindiket serta merampas enam ekor lembu dan tiga ekor kambing di Tok Uban dan Tendong, Pasir Mas, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, pihaknya merampas ternakan yang dicuri daripada penternak kecil-kecilan di kawasan kampung dengan nilai rampasan hampir RM20,000.

“Selepas dicuri, binatang ternakan akan disembur dengan racun serangga untuk melalikan ternakan itu.

“Sindiket menggunakan kenderaan membawa kuda kerana beranggapan kegiatan mereka tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa.

“Namun, hasil pemantauan dan operasi polis berjaya mengesan dan merampas ternakan berkenaan yang dalam perjalanan untuk dibawa ke lokasi pembeli,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengambil serius kegiatan itu bagi mengelakkan ia berleluasa terutama pada musim perayaan Aidiladha bulan depan.

Katanya, polis menjalankan operasi 24 jam terutama pada waktu malam untuk mengekang kecurian haiwan ternakan.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 7:07pm
d