mutakhir

'Bertanding selepas dapat wahyu'

Oleh Wartawan NSTP

SEPERTI Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis berharap diberikan peluang berkhidmat dengan kerajaan sekali lagi.

K Murthy, 60, yang juga pesara kerajaan berkata, dia mahu terus berkhidmat kepada kerajaan Selangor dan kali ini melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai wakil rakyat berikutan dirinya percaya pengalamannya selama 34 tahun itu boleh dimanfaatkan rakyat.

“Saya mahu mencipta sejarah seperti Dr Mahathir. Beliau (Dr Mahathir) diberikan peluang untuk menerajui negara dua kali.

“Justeru, saya melihat ini sebagai peluang kedua saya untuk berkhidmat kepada Selangor dan ini boleh dilakukan jika pengundi Sungai Kandis memilih saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diumumkan sebagai salah seorang calon pada pertembungan tiga penjuru PRK Sungai Kandis hari ini.

Murthy yang memilih logo pen akan menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Bapa kepada empat anak dari Klang itu berkata, dia bukan bertanding kerana PAS tidak meletakkan calon.

Katanya, dia tidak melihat sebagai satu masalah walaupun masih baru di Sungai Kandis kerana ia tidak jauh dari tempat tinggalnya di Klang.

“Saya membuat keputusan untuk bertanding selepas menerima wahyu Tuhan. Hanya semalam baru saya membuat keputusan.

“Oleh itu, saya letakkan kepada Tuhan (sama ada akan menang atau sebaliknya).

“Pengundi akan memberitahu jika mereka menerima saya dan saya akan buktikan melalui ceramah saya,” katanya.

Pada masa sama, Murthy berkata, dia akan menggunakan kefasihannya dalam dialek Hokkien untuk menarik pengundi Cina di Sungai Kandis.

Katanya, dia mempelajari dialek itu ketika membesar di kawasan masyarakat Cina.

“Saya bergaul dengan ramai kawan dari masyarakat Cina ketika saya muda dan saya mempelajari bahasa itu melalui mereka.

“Jadi, saya boleh berbahasa Hokkien dan saya percaya ini kelebihan saya untuk memperolehi undi daripada pengundi Cina dan India,” katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 7:33pm
d