mutakhir

250 penyair berkampung di Bachok

Oleh Nor Amalina Alias

SERAMAI 250 penyair dari 12 negara termasuk Itali dan Korea Selatan berkampung selama tiga hari di Kampung Chap, Bachok sempena Konvokesyen Penyair Dunia (KONPEN) 2018.

Perhimpunan yang julung kali diadakan itu dianjurkan Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) bermula semalam dengan menampilkan sosok popular dunia penyairan seperti Sri Diah, Ladin Nuawi, Wacana Minda,Norazimah Abu Bakar dan ramai lagi.

Selain itu, turut terbabit penyair popular luar negara seperti Dr Chong Ah Fok (Brunei), Dr Suraiya Chapakiya (Thailand), Dr Sulaiman Juned (Indonesia) dan Stefano Romano (Itali).

Penaung PENYAIR, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, tujuan program itu diadakan bagi menghidupkan kembali dunia penyair, khususnya kepada generasi anak muda.

Katanya, mereka tidak menyangka menerima sambutan luar biasa apabila lebih 200 penyair, termasuk dari rumpun negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei mengambil bahagian.

“Kita berhasrat program ini dijadikan acara tahunan dalam melestarikan kegemilangan puisi Melayu yang turut mendapat sambutan hebat penyair antarabangsa,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Antologi Puisi Wangian Kembang dan Direktori 100 Penyair Malaysia sempena KONPEN 2018.

Turut hadir, Presiden PENYAIR Malaysia, Dr A Rahim Abdullah dan Pengarah KONPEN 2018, Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim.

Bagi antologi Wangian Kembang, seramai 245 penyair menyumbang sajak masing-masing yang diselenggara Ketua Editor Datuk Rahman Shaari dibantu penyelenggara Norazimah Abu Bakar, Wanrazuhar,Wacana Minda,Usman Gumanti Ibrahim dan Ladin Nuawi.

Sepanjang program berlangsung pula, penyair disajikan dengan persembahan kebudayaan Kelantan seperti wayang kulit, dikir barat, selain bacaan sajak dan bicara penyair.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 8:28pm
d