mutakhir

Pemuda derita sakit buah pinggang kronik

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Tidak seperti insan lain seusia dengannya yang bebas melakukan aktiviti seharian, seorang remaja terpaksa menanggung derita apabila mengalami masalah sakit buah pinggang kronik sejak 15 tahun lalu.

Komplikasi penyakit itu turut membuatkan separuh badan Muhammad Shahrul Azwan Awang, 22, membengkak sejak hujung tahun lalu.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, badannya membengkak disebabkan saluran darah utama di tangan kanannya tersumbat akibat komplikasi rawatan dialisis dijalaninya tiga kali seminggu.

“Saya menghidap penyakit buah pinggang ini sejak berusia tujuh tahun lagi dan mula menjalani rawatan dialisis ketika berusia 18 tahun.

“Memang hospital ibarat rumah kedua bagi saya dan rumah pula menjadi seperti klinik apabila dipenuhi pelbagai jenis ubat selain perlu membuat rawatan mencuci buah pinggang,” katanya di rumahnya di Taman Pandan Makmur di sini, semalam.

Muhammad Shahrul Azwan berkata, dia akan menjalani pembedahan venoplasty bagi membesarkan kembali salur darah utama yang tersumbat itu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, esok.

“Doktor memberitahu sebanyak RM5,000 diperlukan untuk kos pembedahan ini namun ia boleh meningkat jika banyak saluran darah yang tersumbat,” katanya.

Katanya, sebelum ini dia pernah menjalani pembedahan sama di sebuah hospital kerajaan di ibu negara namun tidak menunjukkan kesan positif, sebaliknya semakin membengkak.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB Bank 7037308496 atas nama Haslidar Endok.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 3:11am
d