mutakhir

Dua jam tersepit dalam lori terbalik

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang pemandu lori terselamat selepas kenderaan berat itu hilang kawalan dan terbabas ke gaung sedalam kira-kira 3.3 meter dan terjunam ke parit di Jalan Tun Kudu-Bukit Katil di sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, M Ganesan, 35, terpaksa bertahan selama kira-kira dua jam dengan kakinya tersepit di bawah papan pemuka lori satu tan dipenuhi muatan perkakasan pertukangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil Alias Ahmad berkata, mangsa bernasib baik kerana hanya sebahagian badan saja ditenggelami air.

“Kami menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 10.39 pagi dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

“Dua anggota kecemasan dan seorang paramedik ditempatkan di bawah cerun bagi menenangkan dan memastikan mangsa bertahan dan sentiasa dalam keadaan sedar,” katanya.

Menurut beliau, tiga jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, Padang Temu dan Ayer Keroh digunakan untuk menarik lori itu ke atas namun gagal.

“Dengan bantuan trak tunda, lori itu dapat dinaikkan sedikit. Ketika itulah anggota kami menggunakan pemotong serta peregang hidraulik bagi mengeluarkan mangsa.

“Mangsa berjaya dikeluarkan jam 12.20 tengah hari sebelum dibawa ke Hospital Melaka,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 3:36am
d