mutakhir

'Raudhah' laris RM87 sehelai di pasaran

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

Sudah empat hari saya berada di Makkah, selepas menghabiskan 12 hari penuh bermakna di bumi Madinah.

Jadi, coretan kali ini masih mengenai Madinah kerana saya masih ‘baru’ di Makkah dan Madinah juga masih segar di minda saya.

Bercakap mengenai Madinah, ikon utamanya pasti Masjid Nabawi dan bercakap mengenai Masjid Nabawi, ada dua elemen penting iaitu makam Rasulullah dan sudut Raudhah yang berada di dalamnya, selain tanah perkuburan Baqi’ berhampiran dengannya.

Sudut Raudhah adalah satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi dan sesiapa yang berpeluang menjejakkan kaki ke Madinah dan Masjid Nabawi, pasti akan berusaha untuk solat dan berdoa di dalam Raudhah.

Untuk mengetahui di mana sudut Raudhah, ‘petuanya’ amat mudah iaitu ia bersebelahan makam Rasulullah dan hamparan karpetnya berwarna hijau berbanding kawasan lain dalam Masjid Nabawi yang karpetnya berwarna merah.

Raudhah antara tempat doa dimakbulkan. Mengikut sejarah, ia salah satu tempat Rasulullah SAW dan sahabat sering beribadat dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW.

Sebab itulah, ramai yang sanggup bersusah payah dan ada juga yang menjadi mangsa tolak-menolak untuk masuk ke dalam Raudhah.

Bagi Muslimat pula, cabaran mereka lebih getir kerana Raudhah hanya dibuka pada waktu tertentu saja untuk orang perempuan, menyebabkan ramai y ang terpaksa menunggu berjam-jam sebelum dapat masuk ke situ.

Tapi, jangan terkejut jika saya katakan pada masa ini sesiapa saja boleh masuk ke ‘Raudhah’ dan ‘Raudhah’ juga kini ada di mana-mana, malah amat laris di pasaran.

Semuanya gara-gara kemunculan sejadah dengan corak dan warnanya sama dengan karpet yang terhampar di dalam Raudhah.

Ada juga sejadah berwarna merah yang coraknya sama dengan karpet di ruang lain di dalam Masjid Nabawi.

Pastinya, sejadah yang berwarna hijau lebih laris daripada sejadah yang berwarna merah.

Harganya pula berbeza-beza mengikut syarikat pengeluar, ada yang 120 Riyal (RM130) dan ada yang 80 Riyal (RM87) dan 70 Riyal (RM76) sehelai.

Kalau nak yang dikategorikan original atau asli, sejadah Raudhah itu berharga 120 Riyal dan boleh dibeli di mana-mana rangkaian kedai Madinah Gift Center, termasuk yang terletak di kiri dan kanan pintu pagar nombor 20 Masjid Nabawi.

Di kedai-kedai biasa pula, harga yang dibuka memang 120 Riyal, tetapi boleh ditawar sehingga 80 Riyal manakala sejadah Raudhah berharga 70 Riyal pula dikatakan kurang berkualiti atau palsu.

Maka, berduyun-duyunlah saya lihat jemaah haji dari Malaysia membeli dan memborong sejadah Raudhah ini.

Bukan sekadar sejadah, ada juga yang membeli karpet dengan warna dan corak Raudhah yang harganya mencecah 250 Riyal (RM270).

Sejadah dan karpet bercorak Raudhah itu dianggap cenderamata atau buah tangan paling istimewa dari Madinah, selain kurma.

Difahamkan, sejadah Raudhah ini menjadi produk komersial sejak 2016, tapi tahun ini ia tampil dengan wajah baru yang lebih asli.

Saya juga tidak ketinggalan membeli sejadah Raudhah ini. Tak banyak, dua helai saja. Sebelum membelinya, lama saya bermuhasabah dan mengingatkan diri saya sendiri.

Apa guna ada sejadah Raudhah kalau tak solat. Solat atas sejadah Raudhah bukan jaminan doa saya gerenti dimakbulkan Allah dan bukan juga jaminan saya mudah masuk syurga.

Ia sekadar cenderamata... mudah-mudahan setiap kali solat di atas sejadah Raudhah itu saya dapat merasai semula nikmatnya ketika berkesempatan menunaikan solat dan berdoa di dalam Raudhah di Masid Nabawi.

Cukup dulu untuk kali ini. Kita jumpa lagi minggu depan dengan cerita pasal Makkah pula...insya-Allah. - Nota Al-Haramain

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 3:42am
d