mutakhir

Jumpa mayat dalam kereta

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LELAKI ditemui maut dalam kereta yang berkunci di Jalan USJ 1/5, Subang Jaya, semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, lelaki berusia 48 tahun berkenaan ditemui oleh orang awam yang menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati lelaki berkenaan terbaring dalam kereta yang berkunci.

“Anggota bomba dipanggil bagi membantu memecahkan cermin berkenaan. Siasatan awal mendapti mangsa seorang penganggur.

“Polis turut menemui satu nota yang diletakkan di dalam kenderaan berkenaan bertulis dia sangat tertekan dengan kehidupannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Azlin berkata, mangsa didapati tinggal seorang diri di kondominium di USJ 1.

“Mangsa dipercayai mati akibat terhidu gas karbon monoksida. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat sebelum dituntu ahli keluarga.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 9:35am
d