mutakhir

Sedekah rambutan sebelum ke Makkah

Oleh Hassan Omar

HAMPIR 48 jam sebelum berangkat ke Madinah untuk menunaikan ibadah haji, suami isteri sempat bersedekah rambutan dalam majlis doa selamat di Kampung Londang, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Abdul Jalal Othman, 65, dan isteri, Azizah Abdul Aziz, 57, bersyukur kerana dua pokok rambutan di belakang rumahnya berbuah lebat kali ini.

“Melihat keadaan itu kami bersedekah rambutan untuk kira-kira 150 tetamu yang hadir pada majlis ini.

“Sebelum ini pun kami tidak pernah menjual buah rambutan ini, sebaliknya hanya bersedekah kepada jiran dan saudara mara... mudah-mudahan dapat pahala dan keberkatan Allah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Selain menikmati di rumah Abdul Jalal, ada juga di antara tetamu yang membawa pulang rambutan berkenaan.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, dia dan isteri amat bersyukur dipilih menjadi tetamu Allah selepas 10 tahun menunggu giliran untuk menjejakkan kaki di Tanah Haram.

“Kami mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2008 dan Alhamdulillah tahun ini Allah memakbulkan doa kami,” katanya.

“Kami dijadualkan berada di Madinah lapan hari sebelum berangkat ke Makkah dan Insya-Allah apabila tiba di Makkah, kami akan melakukan umrah serta Tawaf Qudum, iaitu Tawaf Selamat Datang,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 12:26pm
d