mutakhir

5 Ogos tarikh penentuan - Ustaz Kazim

Oleh Balqis Jazimah Zahari

KEPUTUSAN sama ada untuk meneruskan operasi Unit Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah, Ipoh hanya akan ditentukan pada 5 Ogos ini.

Pengetua pusat berkenaan yang juga pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, keputusan itu akan diketahui selepas perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri selesai.

Menurutnya, setakat ini pihaknya mengadakan perbincangan dengan beberapa pusat tahfiz lain yang berminat untuk mengambil alih pengurusan termasuk kakitangan dan pelajar.

“Kemungkinan bangunan itu tidak dijual kerana ada kesanggupan daripada beberapa maahad tahfiz untuk mengambil alih pengurusan termasuk pelajar dan staf di sana, maknanya kami tidak lagi mengeluarkan perbelanjaan untuk menampung unit tahfiz.

“Tetapi kalau tidak jadi (diambil alih), kita tetap akan teruskan tahfiz, namun akan berhadapan banyak kekurangan termasuk kualiti pendidikan iaitu kemungkinan tiada lagi pembelajaran akademik seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil dan bahasa lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pernikahan pasangan pengantin warga emas di surau Pusat Pendidikan Al Barakah, Ipoh, hari ini.

Ustaz Kazim berkata, pihaknya sedang menunggu tarikh dan masa yang sesuai bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

“Kita juga sudah menerima sumbangan sebanyak RM150,000 daripada kerajaan negeri bagi membantu pengurusan pusat pendidikan ini.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Perak yang prihatin dengan kekangan kewangan yang kami hadapi ketika ini,” katanya

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya juga kembali menerima pelbagai jemputan program ceramah dan kuliah sejak isu penjualan unit tahfiz itu tular di media sosial.

“Sudah ramai yang menjemput untuk berceramah termasuk stesen televisyen. Jemputan ceramah dan kuliah kembali normal sehingga 50 peratus dan kemungkinan bulan September ini akan kembali pulih seperti sebelum ini,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Ustaz Kazim tangguh jual tahfiz [METROTV]

Demi ummah, Ustaz Kazim akan dibantu - MB Perak

Kerajaan Perak sedia bantu Al-Barakah

Ustaz Kazim terpaksa jual sekolah tahfiz

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 6:29pm
d