mutakhir

Bukan debat tapi berdamai

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

MENTERI di Jabatan Perdana Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan kesediaan menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian didakwa berlaku antara tokoh agama terkemuka, Dr Zakir Naik dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy.

Mujahid berkata, pihaknya bersedia menganjurkan satu pertemuan tertutup antara Zakir dan Ramasamy dengan beliau sendiri bertindak sebagai orang tengah bagi menjernihkan keadaan.

“Penganjuran debat secara terbuka antara dua tokoh ini bagi menentukan siapa lebih ekstremis pasti akan mencetuskan ketegangan agama dan kaum sekali gus tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat negara ini.

“Zakir mempunyai hak untuk tinggal di negara ini selagi mana beliau mematuhi undang-undang negara.

“Segala tuduhan dikemukakan terhadapnya juga masih belum disahkan oleh kerajaan India,” katanya ketika ditemui di Parit Buntar, hari ini

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu cadangan penganjuran perdebatan secara terbuka antara Zakir dan Ramasamy oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar.

Cadangan itu timbul susulan gesaan Ramasamy agar Zakir dihantar pulang ke India kerana dikehendaki kerajaan negara berkenaan.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 7:17pm
d