mutakhir

HFMD: Tiada sekolah tutup di Sungai Petani

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan penyebaran maklumat yang tular di media sosial kononnya 11 sekolah di daerah Kuala Muda, Kedah terpaksa ditutup kerana terbabit dengan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan pemantauan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK), hanya satu kluster HFMD dilaporkan berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Tai Tong, Taman Kempas dan satu kes lagi membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Wang, namun dua sekolah di Sungai Petani terbabit tidak ditutup.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas mengambil kira hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan yang mendapati tiada pendedahan risiko jangkitan kepada murid lain.

Selain itu, katanya, keadaan pelajar yang terbabit di dua sekolah berkenaan juga dilaporkan stabil dan terkawal.

“JKNK tidak menerima sebarang makluman kes HFMD membabitkan sekolah-sekolah yang ditularkan iaitu SK Hj Nyak Gam, SK Laguna Merbok, SK Seri Pinang, SK Sg Pasir, SJKC Sin Kwang, SJKC Sin Min B, SK Kem Lapangan Terbang, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswaty dan SK Ibrahim.

“Sehingga kini, tiada penutupan sekolah di Kedah akibat jangkitan HFMD," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu maklumat berkaitan HFMD dengan KKM sebelum mempercayai dan menyebarkannya.

Menurutnya, kes HFMD dijangka meningkat akibat kurangnya kesedaran dan keprihatinan ibu bapa untuk segera membawa anak yang mengalami gejala jangkitan berjumpa dengan pengamal perubatan bagi mendapatkan nasihat serta rawatan lanjut.

Katanya, HFMD adalah penyakit yang perlu dimaklumkan kepada pihak kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Orang ramai terutama ibu bapa, pengusaha pusat jagaan kanak-kanak (TASKA atau TADIKA) dan guru dinasihatkan untuk sentiasa menerapkan amalan menjaga kebersihan diri serta persekitaran termasuk mencuci tangan dengan betul kepada kanak-kanak mahu pun murid.

“Selain saringan di pintu masuk, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memeriksa anak setiap pagi sebelum dihantar ke sekolah dan jika terdapat sebarang tanda jangkitan, mereka perlu mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran.

“Sekiranya ada tanda jangkitan, ibu bapa juga tidak boleh membenarkan anak masing-masing menghadiri tempat belajar atau berkunjung ke tempat awam bagi mengelakkan penularan kepada kanak-kanak lain,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 9:53pm
d