mutakhir

Tersungkur lari lintang-pukang

Oleh Nordiana Shafiee

WANITA warga Thailand antara 14 warga asing ditahan Jabatan Imigresen, semalam, selepas mereka didapati melanggar Pas Lawatan Sosial (PLS) yang diberikan bagi berkerja di kawasan sekitar Sungai Petani dan Gurun.

Dalam serbuan Op Mega 3.0 bermula 12 tengah hari hingga 7 malam itu, wanita berusia 37 tahun itu ditahan kerana bekerja sebagai tukang urut di Taman Jerai Maju, Gurun.

Dia yang memasuki negara ini sejak 12 Julai lalu didapati menyalahgunakan pas berkenaan dengan menawarkan khidmat urut kepada warga tempatan pada harga RM50 bagi tempoh 30 minit.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata dalam operasi itu, 97 warga asing diperiksa di beberapa lokasi berasingan membabitkan rumah sewa, premis perniagaan dan juga di tepi jalan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati 14 warga asing termasuk empat wanita berusia antara 24 hingga 52 tahun melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas diberikan dan menetap lebih masa dalam negara.

Katanya, mereka yang ditahan adalah empat lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Pakistan, dua lelaki warga Nepal, dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta dua wanita masing-masing warga Thailand dan Myanmar.

“Ketika operasi ini, terdapat dua lelaki warga Pakistan dan Nepal lari lintang-pukang sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa.

“Lelaki Pakistan yang bekerja di kedai runcit di Sungai Gelugor itu bertindak melarikan diri sejauh 200 meter, manakala lelaki warga Nepal terpaksa dikejar sejauh 100 meter sehingga dia jatuh tersungkur gara-gara diminta mengemukakan dokumen perjalanan di hadapan flat Paya Nahu,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Zuhair berkata, semua warga asing yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, mereka seterusnya dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 10:45am
d