mutakhir

Anak positif lepas pembedahan hati

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: “Alhamdulillah anak saya menunjukkan perkembangan positif dan kini boleh duduk serta berdiri selepas jalani pembedahan hati, tiga bulan lalu.

“Sebelum itu, dia terbaring sahaja kerana kesihatannya tidak menentu,” kata Norinie Stofar, 31, ibu Muhammad Fakhri Hakim Mohd Fazil, berusia setahun tujuh bulan yang menghidap penyakit kegagalan hati.

Suri rumah itu berkata, dia sangat bersyukur kerana kesihatan anak bongsu daripada dua beradik itu semakin baik, malah matanya yang dahulu sentiasa kuning kini normal.

Norinie juga berterima kasih kepada pelbagai pihak yang membantunya mengumpul dana untuk pembedahan Muhammad Fakhri Hakim yang mencecah RM250,000.

Katanya, dengan bantuan diterima membolehkan mereka menjalani pembedahan di Hospital Renji, Shanghai, China dan dia dapat mendermakan 20 peratus hatinya buat anak tersayang.

“Selepas pembedahan itu anak semakin sihat dan aktif seperti bayi sebaya yang lain.

“Saya bersyukur kerana semua ini berkat bantuan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia yang prihatin.

“Kami kini hanya perlu berjumpa pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur dua minggu sekali untuk rawatan susulan dan pastikan dia sihat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Norinie yang tinggal di Kampung Batu 11, Tanah Merah berkata, buat masa ini dia banyak berehat untuk memulihkan kembali hati yang memerlukan masa setahun.

Muhammad Fakhri Hakim sebelum ini dilaporkan memerlukan sumbangan RM250,000 bagi menampung kos rawatan pemindahan hati di China.

Bayi itu kemudian menjalani pemindahan hati Mac lalu.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 10:52am
d