mutakhir

'Saya tak goyang'

Oleh Iskandar Shah Mohamed

CALON PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yakin penyokong PAS akan mengundinya walaupun kepemimpinan parti itu mengharapkan Pakatan Harapan (PH) tewas.

Mohd Zawawi berkata, beliau tidak sesekali ‘goyang’ dengan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam kempen PRK itu.

Katanya, kerjasama seperti itu adalah hak kedua-dua parti ketika berkempen termasuk jika kedua-duanya mahu isytihar untuk bergabung.

“Terserah kepada mereka (BN dan PAS) jika mahu mengisytiharkan akan bergabung. Itu hak mereka.

“Namun, saya yakin lebih 7,000 pengundi PAS itu akan mengundi saya kerana mereka memerlukan pemimpin berfikiran Islam dan mempunyai sahsiah diri yang baik.

“Saya tidak berasa tercabar atau ‘goyang’ dengan kerjasama itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media harian di Bilik Gerakan Utama PKR di Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi yang mesra digelar Ustaz Zawawi turut menyangkal dakwaan kononnya PH tidak menitikberatkan soal kebajikan Islam di negara ini.

“Saya sebagai Setiausaha Biro Pembangunan dan Pemantapan Agama PKR sentiasa mengadakan perbincangan untuk menampilkan Islam supaya dapat diterima dengan baik oleh semua masyarakat.

“PAS mungkin menggunakan pendekatan (ke arah Islam) berbeza berbanding PKR yang lebih kepada konsep wasatiyyah.

“Sebagai contoh bagi isu RUU 355 (Rang Undang-Undang 355), kita memfokuskan isu kesejahteraan rakyat terlebih dulu terutama usaha mengelakkan kelakuan jenayah dan (meningkatkan) pendapatan sesebuah isi rumah sebelum membabitkan soal Mahkamah Syariah atau perkara berkaitan lain. Kita setuju tetapi bukan secara segera,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sambutan dalam kempen awal PRK, beliau mendapati sokongan dan penerimaan pengundi setempat kepadanya amat positif.

“Alhamdulillah, saya sentiasa diterima baik masyarakat berbilang kaum di setiap lokasi yang diziarahi.

“Ia petanda positif biarpun kempen baru memasuki hari ketiga dan kita yakin mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 1:48pm
d