mutakhir

Udang galah RM1 jadi pilihan

Oleh Hassan Omar

UDANG galah kolam yang dijual RM1 seekor berbanding udang galah sungai lebih RM2 seekor mendapat sambutan ramai.

Robiah Salam, 57, berkata, dengan harga RM1 seekor, dia memperoleh antara 30 hingga 35 ekor udang galah untuk satu kilogram (kg) pada harga antara RM30 hingga RM35.

“Jika saya beli udang galah sungai, jumlah udangnya pun lebih kurang sama, tetapi harganya antara RM70 hingga RM80 bagi satu kg.

“Bagaimanapun, saya akui rasa udang galah sungai lebih enak, berbanding udang galah kolam,” katanya.

Dia ditemui ketika membeli udang galah itu yang dijual pasangan suami isteri, Wan Mohd Fauzi Wan Ali dan Azliana Azlan di tepi jalan pekan Masjid Tanah-Kampung Paya Rumput di sini hari ini.

Sementara itu, Azliana, 29, berkata, dia dan suami menjual udang galah kolam pada hari tertentu sejak sebulan lalu bergantung pada bekalan yang dibawa bapanya, Azlan Mat, 60, dari Kuala Terengganu.

“Bapa saya memperoleh bekalan daripada penternak udang galah kolam di sekitar Kuala Terengganu sebelum membawanya dengan kenderaan pacuan empat roda ke negeri ini dan antara lokasi saya berniaga adalah di pekan ini, Batu Berendam, Jasin dan Bandar Melaka,” katanya.

Wan Mohd Fauzi, 30, berkata, selain udang berkenaan, mereka turut menjual udang bersaiz lebih besar berharga RM5 seekor tetapi setakat ini hanya udang galah berharga antara RM1 hingga RM1.50 lebih mendapat sambutan.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 2:26pm
d