mutakhir

Silibus kursus kahwin diperhalusi

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SILIBUS kursus pra-perkahwinan di Johor akan diperhalusi bagi memastikan individu yang ingin berkahwin memahami amanah serta tanggungjawab selepas berkahwin.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, tujuan meneliti kursus itu bagi mengelak berlakunya perkahwinan jangka pendek dan perceraian.

"Dalam hal ini, kita tidak mahu melihat perkahwinan jangka masa singkat atau perceraian berlaku. Justeru, kursus berkaitan perkahwinan akan dipertingkat serta diperhalusi bukan sekadar perkara-perkara asas mengenai perkahwinan tetapi membawa silibus lebih mendalam," katanya pada sidang media, di Johor Bahru, hari ini.

Aminolhuda berkata, antara silibus yang akan diteliti dalam kursus perkahwinan kelak merangkumi urusan rumah tangga dan pengurusan ekonomi rumah tangga.

"Sebagai permulaan, kita mahu mereka yang ingin berkahwin tahu bahawa rumah tangga dibina bukan sekadar keseronokan semata-mata, tetapi ia lebih kepada tanggungjawab dan amanah.

"Tanggungjawab menjaga seseorang manusia dari keluarga lain. Kita ambil anak orang, pastikan kita bertanggungjawab menjaganya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi portfolio agama akan mengetengahkan perkara ini supaya perkahwinan dibina lebih kekal dan panjang.

Berhubung perkahwinan membabitkan pasangan bawah umur yang mana wanita berusia 16 tahun ke bawah dan lelaki 18 tahun ke bawah katanya, pihaknya juga akan memperketatkan kelulusannya.

"Saya dimaklumkan perundangan meletakkan pasangan ingin berkahwin mengikut tahap umur ditetapkan iaitu lelaki 18 tahun dan 16 tahun bagi wanita.

"Sekiranya perkara ini menjadi syarat, kebenaran dari pihak majlis agama dan jabatan agama akan diperketatkan termasuk mengambil kira tahap kesediaan mereka berumah tangga dan menyara keluarga," katanya.

Bagi EXCO agama negeri katanya, satu pangkalan data akan diwujudkan bertujuan menyimpan maklumat individu berkahwin di usia muda.

"Kita akan mewujudkan pangkalan data bagi golongan ini dan meminta bahagian kadi berhubung terus dengan jabatan agama daerah bagi tujuan berkenaan.

"Ia penting supaya pemantauan mengenai kehidupan mereka ini betul-betul diawasi atau diambil perhatian berat sekali gus mengelak masalah mendatang yang merugikan keluarga dan masa depan mereka," katanya.

Statistik dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merekodkan 5,362 permohonan kebenaran nikah bawah umur sejak Januari 2013 hingga Disember tahun lalu.

Daripada jumlah berkenaan, Johor mencatatkan kedudukan keempat iaitu sebanyak 440 permohonan kebenaran nikah bawah umur.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 2:59pm
d