mutakhir

Jangan cakap saja, buat laporan polis...

Oleh Khairul Azran Hussin

KEMPEN yang masuk hari ketiga mula menyaksikan tuduh menuduh apabila Datuk Lokman Noor Adam mencabar pihak tertentu membuktikan jika beliau didakwa terbabit dalam penyelewengan.

Lokman yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berkata, beliau sedia disiasat berhubung dakwaan pihak tertentu bahawa dirinya terbabit dalam banyak kes penyelewengan.

Katanya, pihak yang membuat tuduhan sepatutnya membuat laporan kepada pihak berkuasa, bukan hanya menuduh tanpa mengemukakan bukti.

“Saya cabar Amirudin (Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari) dedahkan apa penyelewengan yang saya lakukan. Saya tidak sedikit pun rasa tertekan atau bimbang jika Amirudin ugut mahu bongkar salah laku saya.

“Masa Amirudin masuk ke pejabat PKR, saya masuk penjara (tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Amirudin tidak tahu apa-apa mengenai sejarah PKR. Saya antara individu yang menggerakkan reformasi,” katanya ditemui pemberita selepas program turun padang di Sekolah Rendah Agama Bukit Naga, Klang, hari ini.

Semalam, Amirudin ketika berucap pada program bersama calon PRK Mohd Zawawi Ahmad Mughni di Bukit Kemuning, mendakwa Lokman yang juga bekas Ahli Kepempimpinan Tertinggi PKR terbabit dalam pelbagai penyelewengan sepanjang terbabit dalam politik.

Dalam pada itu, Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mendakwa beliau juga mempunyai banyak rahsia mengenai kes salah laku membabitkan beberapa pemimpin PKR, namun tidak mendedahkannya atas dasar persahabatan serta tidak mahu mengaibkan mereka.

“Sebelum ini saya pernah dedahkan PKR menerima dana pilihan raya umum (PRU) daripada penyangak mata wang, George Soros ketika lawatannya ke Washington, Amerika Syarikat pada 2003.

“Perkara ini disahkan dalam mesyuarat PKR. Dana ini digunakan untuk menempah baju-T, topi dan bendera parti. Semua tempahan ini dibuat di China.

“Jika pendedahan saya ini tidak benar, kenapa PKR tidak saman saya? Mereka (PKR) tidak berani saman sebab saya simpan banyak rahsia pemimpinnya,” katanya.

tamat

#KW kandis, sungai kandis, politik, lokman noor adam, amirudin shari

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 4:17pm
d