mutakhir

Bekalan daging Aidiladha mencukupi

Oleh Fahmy Azril Rosli

MENJELANG Aidiladha, pengguna tidak perlu bimbang kerana bekalan daging lembu, kerbau dan kambing untuk pasaran negara dijamin mencukupi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), jumlah lembu, kerbau dan kambing mencukupi bagi menampung keperluan semasa terutama pada musim perayaan, malah ianya melebihi permintaan.

Beliau berkata, selepas mengambil kira data keperluan yang diperoleh dari masjid, surau, komuniti, kampung dan lain-lain tempat menunjukkan jumlah lembu yang diperlukan adalah 44,633 ekor, manakala kambing sebanyak 32,130 ekor.

“Stok bekalan lembu dan kerbau tempatan sedia ada untuk disembelih (ketika Aidiladha) berjumlah 37,967 ekor. Bagi yang diimport berjumlah 12,158 ekor dan keseluruhannya menjadikan sebanyak 50,125 ekor.

“Bekalan kambing dan bebiri pula, jumlah keseluruhan adalah 42,160 ekor. Ia merangkumi bekalan tempatan sebanyak 31,079 ekor dan import pula 11,081 ekor.

“Jadi, saya rasa tidak timbul isu (bekalan) tidak cukup. Saya harap urusan untuk menjalankan ibadah korban boleh diteruskan," katanya pada sidang media selepas walkabout sempena Hari Agri Tech & Engineering Innovation (ATEI) 2018 di Serdang, hari ini.

Mengulas lanjut sekiranya bekalan daging masih tidak mencukupi, Salahuddin berkata, kementerian berkemungkinan akan mengimport bekalan dari Thailand dan beberapa negara lain.

Beliau sekali lagi mengulangi bekalan daging menjelang Aidiladha mencukupi dan pihaknya akan turun padang meninjau perkembangan semasa bagi memastikan bekalan daging tidak terputus.

“Kita tengok dulu beberapa hari ini dan menjelang Aidiladha. Pegawai kementerian dan agensi sentiasa memantau (bekalan),” katanya.

JPV dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bekalan ternakan pada musim perayaan berdasarkan perangkaan bekalan semasa lembu tempatan dan lembu import dibuat dalam tempoh tiga bulan sebelum perayaan.

Selain bekalan daging tempatan, menurut JPV, negara banyak bergantung bekalan dari negara seperti Thailand, Indonesia dan Australia.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 5:01pm
d