mutakhir

Anak minta maaf sebelum maut

Oleh D J Dolasoh

“SEBELUM pergi ke tempat kerja dengan menunggang motosikal, anak saya berkali-kali memohon maaf selepas mencium tangan saya kerana katanya mungkin tidak akan berjumpa lagi selepas ini," kata Mohd Zain Mohd Saidin.

Mohd Zain, 60, dari Taman Kota Tampan, Lenggong berkata, anaknya Mohammad Syimir, 27, bertarung nyawa selama 10 jam sebelum meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya terlanggar babi hutan, semalam.

Dalam kejadian 8.30 pagi di Kampung Banggol Belimbing dekat sini, Mohammad Syimir dalam perjalanan ke tempat kerja di syarikat pemborong sayur-sayuran di pekan Lenggong apabila motosikalnya terlanggar dua babi hutan yang tiba-tiba meluru keluar dari kawasan semak di situ.

"Mohammad Syimir biasa menaiki motosikal jenis Yamaha EGO pada 8.15 pagi ke tempat kerjanya di pekan Lenggong sejauh enam kilometer (km), tetapi kira-kira tiga km perjalanan, dia terlanggar haiwan liar itu.

"Motosikalnya tersasar ke dalam semak, manakala dia terjatuh ke atas jalan akibat rempuhan babi hutan yang sedang berlari melintas jalan raya di situ," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini sebentar tadi.

Mohd Zain berkata, anaknya parah di bahagian tengkuk belakang tetapi topi keledar dipakainya hanya tercalar akibat terhantuk ke atas jalan raya sebelum dia dibawa ke Hospital Taiping (HT) dan meninggal dunia pada 6.30 petang semalam.

Menurutnya, kawasan kejadian yang dipenuhi semak samun sering menjadi laluan babi hutan meskipun berhampiran rumah penduduk kerana haiwan itu juga sering mencari air di anak sungai di situ.

"Justeru, saya meminta pihak berkaitan supaya membersihkan kawasan jalan raya di situ dan memasang besi penghadang jalan supaya haiwan liar tidak keluar melintas jalan raya di situ.

"Peringatan ini supaya kejadian sama yang berlaku kepada Mohammad Syimir tidak berlaku kepada pengguna jalan raya lain terutama laluan itu agak sibuk pada waktu puncak kerana ramai pelajar dan ibu bapa berulang-alik ke tiga buah sekolah di Lenggong," katanya.

Mohd Zain berkata, Mohammad Syimir anak kelima daripada lapan adik-beradik kini sedang menunggu kelahiran anak ketiga kerana isterinya, Nur Akmalia Nordin, 27, dijangka bersalin pada Disember depan.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga menganggap ia takdir Allah SWT dan untuk masa ini saya dan isteri akan menjaga menantu dan dua cucu yang berusia 18 bulan dan tiga tahun," katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu Dinding pada 12.45 tengah hari tadi.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 6:53pm
d