mutakhir

Wajib ikuti tujuh ceramah bimbingan haji

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

MAKKAH: Tujuh siri ceramah bimbingan haji disediakan Tabung Haji (TH) sebagai kursus ulangkaji terakhir kepada jemaah haji Malaysia bagi memastikan ibadat mereka sepanjang operasi Masyair berjalan lancar.

Operasi Masyair ialah kemuncak ibadat haji dengan kewajipan menunaikan amalan tertentu pada tempoh masa ditetapkan bermula dengan wukuf di Arafah yang dijangka pada 20 Ogos ini, diikuti bermalam di Muzdalifah dan Mina serta melontar di Jamrah.

Pengarah Operasi (Maktab) Datuk Tahar Pilus berkata, pihaknya mewajibkan jemaah menghadiri tujuh siri bimbingan itu supaya mereka mendapat maklumat lebih menyeluruh dan terkini mengenai operasi Masyair.

“Setiap siri kursus dijangka berlangsung selama dua hingga dua setengah jam dan dikendalikan oleh pembimbing-pembimbing TH di sini,” katanya ketika ditemui wartawan Malaysia.

Menurutnya, selain tujuh siri bimbingan, TH turut menyediakan beberapa program ceramah untuk jemaah haji seperti taklimat pengurusan maktab yang akan dijalankan dari semasa ke semasa, selain taklimat persiapan Arafah dan Mina.

Katanya, berikutan cuaca panas di tanah suci, jemaah perlu mendapatkan kebenaran daripada pengurus maktab jika ingin ke Masjidil Haram bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Setiap maktab di Makkah mempunyai kaunter perkhidmatan pelanggan. Segala aduan dan permasalahan dihadapi jemaah haji boleh dibuat di situ.

“Turut disediakan ialah kaunter kewangan bagi urusan pengeluaran wang dan kaunter perkhidmatan bimbingan untuk jemaah mendapat penjelasan mengenai apa saja kekeliruan atau kemusykilan,” katanya.

Menurutnya, kemudahan lain disediakan di maktab ialah klinik, kafeteria dan perkhidmatan penghantaran bagasi ke Malaysia.

Katanya, setiap maktab mempunyai 10 petugas yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan antara 2,900 hingga 3,000 jemaah, bermakna seorang petugas perlu mengendalikan kira-kira 300 jemaah.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 7:25pm
d