mutakhir

Peniaga bimbang lambakan kasut putih

Oleh Mary Victoria Dass

KEMENTERIAN Pendidikan disaran melanjutkan tempoh pelaksanaan pemakaian kasut hitam di sekolah berikutan pelaksanaan secara drastik boleh menjejaskan peniaga kasut.

Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash And Carry Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya sudah membuat tempahan bagi mengimport kasut sekolah dari China seawal Mac lagi.

Menurutnya, tempahan berkenaan perlu dilakukan awal kerana sebagai persiapan aktiviti jualan sempena Program Kembali Ke Sekolah di sebanyak 70 cawangan pasar raya itu di seluruh negara.

"Kini 80 peratus tempahan kasut putih sudah disiapkan oleh pengilang di China dan ia mengakibatkan kami hanya berpeluang menggantikan 20 peratus tempahan kepada kasut hitam.

"Sekiranya dasar berkenaan dikuat-kuasa tahun depan, akan berlaku lambakan kasut putih di Pasaraya Econsave kerana kami membuat tempahan kira-kira 70,000 kasut bagi menampung permintaan," katanya.

Mas Imran berkata, permasalahan lain yang mungkin timbul adalah kekurangan stok kasut hitam bagi menampung permintaan yang meningkat secara mendadak.

"Kami menyokong dasar berkenaan dan berpendapat ia lebih memudahkan murid dan pelajar, namun kami berharap pelaksanaannya ditangguh sekurang-kurangnya setahun.

"Diharap kerajaan mempertimbangkan pendapat kumpulan penjual kasut sekolah dan memberikan tempoh kelonggaran bagi pelaksanaan pemakaian kasut hitam," katanya ketika ditemui di Pasaraya Econsave Cash and Carry di Skudai Parade , Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, penjual kasut sekolah di bandar raya ini, Qew Mei Lan, 50, berkata, peniaga berharap pelaksanaan berkenaan ditangguh sementara pihaknya mengadakan jualan penghabisan stok kasut sekolah putih.

"Semuanya memakan masa, namun sekiranya ia dilaksanakan secara terburu-buru ramai akan terjejas.

"Ada pelanggan yang masih membeli kasut putih dan mereka juga akan kerugian sekiranya anak mereka perlu memakai kasut hitam pada tahun depan," katanya.

Pada 19 Julai lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mengumumkan pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah bermula tahun hadapan.

Namun pada 21 Julai lalu, beliau menyatakan kementerian tidak akan melaksanakan dasar baharu itu secara drastik dan tergesa-gesa kerana memahami kebimbangan pelbagai pihak terutama ibu bapa jika ia dilakukan secara drastik.

Beliau menyatakan kementerian memahami kebimbangan ibu bapa serta keluarga terutama golongan pendapatan rendah dan tidak akan menguatkuasakan dasar baru kasut hitam secara serta-merta selain pihak industri yang masih mempunyai stok kasut putih yang baru.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 7:44pm
d