mutakhir

[UPDATE] Ayah alami kesukaran bernafas [METROTV]

Oleh Ardini Sophia Sina

“AYAH mengalami kesukaran bernafas sejak dua hari lalu sebelum dikejarkan ke hospital, pagi tadi dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” kata Mohd Asyik, 24, anak bongsu pelakon dan penggiat seni, Allahyarham Khalid Salleh.

Sejak tahun lalu, Allahyarham mulai berhadapan dengan masalah kesihatan apabila sukar membuang air kecil dan terlantar di katil sejak Mei lalu.

“Doktor cuma syak prostat (ayah) membengkak dan dimaklumkan berkemungkinan tibi dengan kuman sudah merebak sehingga jantung, paru-paru serta tulang.

“Kami sendiri tidak tahu punca sebenar ayah meninggal dunia sebab kalau dia sakit pun, dia tidak suka ke hospital. Apa yang pasti, ayah mengalami kesukaran bernafas sebelum meninggal dunia,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Khalid menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Ampang Puteri, jam 3 petang hari ini.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Taman Kosas untuk dimandikan dan disembahyangkan. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Kosas, Ampang sebelum solat Maghrib, sebentar tadi.

Khalid meninggalkan balu, Hamidah Abdullah dan tiga anak iaitu Mohd Israr, Mahfuza Leila dan Mohd Asyik.

Antara selebriti yang hadir pada majlis pengebumian ialah Aishah, Adlin Aman Ramli, Azizah Mahzan, Shaharudin Thamby dan Datuk A Rahman Hassan.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Allahyarham pernah dianugerahkan Pelakon Lelaki Terbaik Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei, Taiwan pada 1998 menerusi filem Jogho.

Beliau adalah pelakon lelaki kedua menerima trofi itu selepas Seniman Allayharham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem Anakku Sazali pada 1957 di Tokyo, Jepun.

Berita berkaitan

Khalid Salleh pergi buat selamanya

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 8:34pm
d