mutakhir

SOSMA mansuh, Malaysia jadi 'negara koboi'

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

UMNO bimbang pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan membuka lebih banyak ruang kepada pihak tertentu untuk meningkatkan provokasi antara kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial dan Internet.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan perlu sedar negara kini berdepan ancaman keselamatan yang dikawal secara kawalan jauh dan terancang.

“Ketika berlaku perubahan landskap politik dalam negara dan antarabangsa, undang-undang seperti SOSMA dan Akta Hasutan sangat kena pada masanya, tetapi pada masa sama aspek keadilan turut diutamakan bagi melindungi hak individu disyaki terbabit.

“UMNO khuatir ada pihak yang menunggu peluang ini bagi menyebarkan hasutan serta dakyah dalam kalangan rakyat. Kesannya amat menakutkan, dan rakyat tidak lagi akan berasa selamat dalam suasana sedemikian.

“UMNO mempersoalkan logik langkah pembatalan ini dalam menjamin ketenteraman awam, sedangkan sudah wujud tindakan pihak tertentu untuk mencabar institusi Raja-Raja Melayu dan melaga-lagakan kaum sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berjanji akan menghapuskan SOSMA kerana menyifatkan akta itu sebagai zalim tanpa memberikan hak kepada pesalah untuk diadili.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata, SOSMA berbeza dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mana pesalah SOSMA tidak boleh diperlakukan sewenang–wenangnya.

Malah katanya, ada peruntukan seperti perbicaraan perlu diadakan di Mahkamah Tinggi, pesalah ISA tidak dibicara selama dua tahun manakala penahanan bawah SOSMA hanya 28 hari saja dan kemudian perlu dibicarakan.

Beliau berkata, kerajaan terdahulu tidak pernah memikirkan keuntungan politik dalam menggubal undang-undang yang difikirkan perlu untuk menjaga kepentingan warganegara, malah sedia menggunakan pendekatan tidak populis itu demi ketenteraman awam.

“Apa yang pasti, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mahu dipersalahkan jika pemansuhannya akan menjadikan Malaysia sebagai ‘negara koboi’,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 11:01pm
d