mutakhir

Serah diri lepas lima jam

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

INSAF melihat rakan ditahan dan digari ketika lokasi penagihan mereka diserbu anggota penguat kuasa, seorang penagih dadah tegar menyerah diri ke pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Manjung di Seri Manjung, semalam.

Lelaki berusia 43 tahun itu sempat melarikan diri ketika rumah yang dijadikan sarang penagihan dadah di Lekir, diserbu, namun dia kemudian menyerah diri pada jam 11 pagi, selepas lima jam serbuan dilakukan.

Lelaki terbabit antara 18 individu termasuk tiga wanita berusia 17 hingga 45 tahun yang ditahan dalam Ops Perdana yang menyasarkan tiga lokasi di Kampung Lekir, Sitiawan dan Seri Manjung.

Ketua Pegawai AADK Manjung, Sharuddin Abdul Salam berkata, lelaki berkenaan juga meminta supaya dia dimasukkan ke pusat pemulihan untuk mendapatkan rawatan dan belum pernah ditahan serta menerima rawatan pemulihan sebelum ini.

Katanya, lelaki itu sudah terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak berusia 27 tahun bermula dengan ganja sebelum terjebak dengan heroin dan kini mula berjinak dengan syabu pula.

“Lelaki itu memberitahu dia malu kepada diri sendiri dan keluarga kerana membabitkan diri dengan bahan terlarang itu dan tiga abangnya juga terbabit masalah sama sebelum ini.

“Seorang abangnya sudah meninggal dunia kerana dadah, manakala dua lagi berjaya pulih dan itu memberikan kesedaran serta keinsafan kepadanya selain melihat rakan ditahan sehingga menyebabkan dia datang menyerah diri," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurutnya, selain lelaki berkenaan, pihaknya turut menahan remaja lelaki berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah dan kembar wanita berusia 36 tahun dalam operasi memerangi dadah habis-habisan itu.

“Semua 18 individu ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983 dan kami turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah, namun tiada rampasan dadah," katanya.

Sharuddin berkata, operasi itu turut membabitkan anggota AADK negeri yang bermula 6 pagi dan berakhir 5 petang, semalam.

Katanya, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat awam bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah itu untuk kesejahteraan masyarakat.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 10:11am
d