mutakhir

Dua selamat, seorang gagal dikesan

Oleh Ramli Ibrahim

DUA daripada tiga pendaki wanita yang mendaki Gunung Yong Yap, Lojing, di Gua Musang, diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) selepas cedera di kaki.

Bagaimanapun, seorang lagi pendaki, Maszidah Muhammad, 31, yang turut cedera masih terkandas di puncak dan usaha menyelamatkannya giat dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, pihaknya menggunakan helikopter bagi kerja mencari dan menyelamat (SAR) Maszidah yang difahamkan berada di lokasi berlainan daripada rakannya.

Beliau berkata, helikopter Unit Udara JBPM jenis MI-17 digunakan untuk operasi itu yang dimulakan sejak pagi semalam.

Katanya, operasi yang dihentikan pada jam 4 petang disebabkan cuaca buruk, diteruskan pagi ini untuk menyelamat mangsa yang berasal dari Tanah Merah.

“Dua pendaki yang berjaya diselamatkan ialah Norhayati Ibrahim berusia 42 tahun dan Ani Murni Abd Hamid yang berusia 32 tahun. Mereka diberi rawatan segera di Klinik Lojing,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Anuar berkata, lima hari lalu mangsa bersama rombongan 20 pendaki memulakan ekspedisi ke gunung itu dan sepatutnya turun pada Ahad lalu.

Katanya, ketika perjalanan turun, tiga daripadanya (mangsa) terseliuh kaki dan pihaknya dihubungi jam 10.37 pagi untuk membantu menyelamatkan mangsa.

“Sejurus panggilan, enam anggota ke lokasi dan mendaki untuk menyelamatkan mangsa. Dua daripada mereka dibawa turun dan tiba di kaki gunung sehingga 10 malam, namun Mazsidah gagal dikesan,” katanya.

Menurutnya, kedudukan gunung itu yang jauh dari Lojing, mengambil masa lebih lapan jam pendakian.

“Mangsa juga masih ditemani seorang jurupandu di gunung itu dan dalam laporan diterima, keadaannya stabil,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 11:16am
d