mutakhir

'Hanya kerana nak tuba ikan...'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

HASRAT empat lelaki Indonesia untuk menuba ikan di Kandaie di Lundu, kelmarin, bukan sahaja tidak kesampaian malah mereka ditahan anggota tentera kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Lelaki berusia 28 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Rejimen Ke-4 Kor Armor Diraja pada jam 10.30 pagi.

Jurucakap Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, anggota tentera berkenaan menjalankan operasi di kawasan sempadan negara dan Kalimantan Barat, Indonesia.

Katanya, ketika rondaan dijalankan, anggota bertugas terserempak dengan dua motosikal dinaiki empat lelaki yang datang dari arah sempadan Indonesia dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota tentera kemudian mengepung motosikal dan berjaya menahan empat lelaki terbabit untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke negara ini,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Jurucakap itu berkata, pasukan rondaan juga menemui beberapa peralatan untuk menuba yang dibawa bersama suspek dipercayai mahu digunakan di sungai berhampiran untuk menangkap ikan.

Katanya, suspek menggunakan laluan tikus untuk masuk ke negara ini sebelum keluar semula selepas menuba ikan.

“Semua suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 1:42pm
d