mutakhir

Zahid bakal Pengerusi PAC?

Oleh Ahmad Suhael Adnan

TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming memberi bayangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan akan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Katanya, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat akan berbincang dan membangkitkan perkara itu dalam pertemuan mingguan mereka dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Khamis ini.

Walaupun perkara itu belum diputuskan, katanya, kerajaan komited untuk melaksanakan perkara itu berikutan ia adalah sebahagian daripada janji Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pejabat Speaker akan bertemu dengan menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen, kemudian kami akan umumkan sekiranya ada keputusan dibuat.

“Sudah tentu kami serius untuk menunaikan manifesto, itu antara sebab mengapa kami akan membincangkan perkara ini. Jika tak serius, kami tak akan bincang mengenainya,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesediaan kerajaan untuk menunaikan janjinya melantik Ketua Pembangkang mengetuai PAC.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha PH yang juga Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, penubuhan Jawatankuasa Parlimen dan pelantikan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi PAC antara proses pendemokrasian yang bakal dilaksanakan kerajaan.

Ditanya bila keputusan pelantikan Ahmad Zahid itu akan diumumkan, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan daripada DAP, berkata ia perlu diputuskan dalam sidang ini.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 2:30pm
d