mutakhir

Itu gurauan saja - Ismail Kassim

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mengakui hanya bergurau untuk menyertai PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas mengumumkan keluar UMNO pada 19 Jun lalu.

Adik kepada bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim itu berkata, beliau tidak pernah berhasrat menyertai mana-mana parti politik pada masa ini.

“Sebenarnya yang tersebar di media menyatakan saya masuk PKR atau PPBM hanya gurauan kawan-kawan, saya tidak pernah memohon atau menghantar borang untuk menyertai mana-mana parti termasuk AMANAH, DAP, PKR atau PPBM.

“Saya memang menjalinkan hubungan rapat dengan pemimpin PKR, namun pada masa ini, saya kekal sebagai wakil rakyat Bebas yang menyokong Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di Kangar, hari ini.

Sebelum ini, tersebar gambar di laman sosial Ismail menyerahkan borang menyertai PKR Kedah, namun difahamkan ia ditolak biro politik parti berkenaan.

Malah, beliau juga dilaporkan mahu menyertai PPBM selepas keluar daripada UMNO, bagaimanapun BERSATU Perlis dikatakan menolak lebih awal hasrat Ismail itu.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 2:43pm
d