mutakhir

'Wajar potong elaun YB'

Oleh Wartawan NSTP

AHLI Parlimen yang 'liat' untuk hadir Persidangan Dewan Rakyat wajar dikenakan tindakan pemotongan elaun selain nama disiarkan kepada umum.

Ahli politik veteran, Tan Sri Dr Rais Yatim menerusi akaun Twitternya mencadangkan perkara itu agar memotong elaun Ahli Parlimen mengikut kadar Jawatankuasa Pilihan Dewan.

"Cara terbaik adalah potong elaun mereka dan siarkan nama anggota yang malas hadir dalam akhbar atau media sosial," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat selepas waktu makan tengah hari berakhir 2.30 petang ini terpaksa ditangguhkan selama 10 minit kerana tidak cukup korum.

Sebaik Dewan Rakyat disambung Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat membangkitkan mengenai mesyuarat tidak cukup korum.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudiannya mengarahkan persidangan itu ditangguhkan selama 10 minit sehingga korum mencukupi untuk meneruskan sidang sesi petang.

Dewan Rakyat kemudiannya disambung semula dengan kehadiran 35 Ahli Parlimen.

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang memberi alasan berada di dalam bangunan Dewan Rakyat tetapi tidak tahu bilangan ahli tidak cukup sehingga persidangan terpaksa ditangguhkan selama 10 minit selepas waktu rehat petang tadi.

Datuk Azizah Mohd Dun (BN-Beaufort) berkata, beliau sedang bersiap untuk memulakan sesi sidang sebelah petang sebaik sahaja loceng pertama dibunyikan.

"Saya tidak tahu pula waktu itu tidak cukup korum sehingga loceng kedua dibunyikan dan saya terus bergegas memasuki dewan," katanya ketika ditemui hari ini.

Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pula berkata, mereka sedang mengadakan taklimat ringkas pada waktu rehat dan menyedari bunyi loceng kedua.

"Selepas itu, kami berjalan menuju ke dewan yang mungkin mengambil masa kira-kira enam minit," katanya.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau) mengakui tiada pada waktu itu dan mengingatkan semua wakil rakyat agar lebih beringat selepas ini.

"Malangnya saya pun tiada waktu itu jadi saya rasa semua kita perlu lebih beringat lepas ini," katanya.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berpuashati dengan tahap kehadiran menteri dan timbalan menteri di Parlimen.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak bercadang menetapkan indeks prestasi utama (KPI) untuk mengukur prestasi menteri dan timbalan menteri menjalankan tugas di Parlimen.

habis.

Berita berkaitan:

Dewan Rakyat tak cukup korum, tangguh 10 minit

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 7:45pm
d