mutakhir

Cedera tong oksigen meletup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEMBANTU perubatan Klinik Kesihatan Sungai Chua, Kajang, cedera selepas tong oksigen di dalam ambulans milik klinik berkenaan terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa, Luqman Hakimi Mohd Ladin, 25, cedera di bahagian pipi kiri dan jari kiri akibat kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.49 petang.

"Seramai enam pegawai dan anggota bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan tong oksigen di dalam ambulans milik klinik kesihatan berkenaan terbakar.

"Bagaimanapun, kebakaran tong berkenaan berjaya dipadamkan oleh kakitangan klinik terbabit menggunakan alat pemadam api sebelum pihak bomba tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Jaslizad berkata, kejadian itu menyebabkan seorang pembantu perubatan klinik kesihatan berkenaan cedera akibat kebakaran terbabit.

"Mangsa kemudian menerima rawatan di klinik kesihatan berkenaan.

"Punca kebakaran tong berkenaan masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 10:03pm
d