mutakhir

Menteri setuju elaun 'kaki ponteng' dipotong

Oleh BERNAMA

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub bersetuju dengan cadangan supaya elaun bulanan Ahli Parlimen yang gagal menghadiri persidangan Dewan Rakyat dipotong sekiranya ketidakhadiran mereka mengganggu perjalanan mesyuarat.

Beliau berkata, tindakan itu boleh diambil jika Ahli Parlimen dengan sengaja tidak hadir tanpa satu alasan yang kukuh.

“Itu saya setuju, jika betul tanpa sebab kukuh saya rasa munasabah untuk parti mereka sendiri ambil tindakan. Kalau ada perancangan pemotongan elaun itu terpulang kepada peraturan Parlimen,” katanya kepada media ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas status Twitter bekas menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim yang menyatakan cara terbaik mengatasi masalah Dewan Rakyat tidak cukup korum adalah melalui potongan elaun bulanan Ahli Parlimen mengikut kadar arahan Jawatankuasa Pemilih Dewan.

Rais turut mencadangkan supaya nama-nama Ahli Parlimen yang disifatkannya sebagai ‘malas’ itu didedahkan di dalam akhbar dan media sosial.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, keadilan perlu diberikan kepada Ahli Parlimen untuk menjelaskan mengapa mereka yang tidak hadir persidangan.

“Jangan hanya keluar gambar dewan kosong, kita terus buat kesimpulan tetapi berilah peluang kepada mereka untuk menjelaskan mengapa mereka tak hadir, Dalam masa dua tahun ini mungkin kita boleh mengukur siapa yang sengaja tidak hadir, dari situ kita boleh ambil tindakan,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini tertangguh 10 minit kerana tidak cukup korum.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 11:17pm
d