mutakhir

Bicara kes bunuh Kevin, keputusan representasi etnik Uighur, hari ini

Oleh HM Digital

PERBICARAAN kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morais di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan berakhir tidak lama lagi apabila saksi pembelaan terakhir, S Ravi Chandaran, 47, memberi keterangan membela diri, hari ini.

Semalam, menyaksikan tertuduh keenam, S Nimalan, 25, memberi keterangan dengan mendakwa pernah disuruh oleh pegawai penjara untuk mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin.

Prosiding membela diri membabitkan semua tertuduh itu sudah berlangsung selama 14 hari di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Nimalan, Ravi Chandaran bersama R Dinishwaran, 26, A K Thinesh Kumar, 25, dan M Vishwanath, 28, didakwa bersama-sama Dr R Kunaseegaran, 55, didakwa membunuh Kevin dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul ke No 1 Jalan USJ 1/6D Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pagi ini juga, keputusan representasi seramai 11 etnik Uighur China akan dikemukakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Mereka sebelum ini mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara bagi mengkaji semula tuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Kes didengar di hadapan Majistret Wong Chai Sia sebelum ini sudah menetapkan tarikh hari ini sebagai pengurusan kes lanjut bagi mengetahui perkembangan representasi itu.

Semua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 24 April lalu dan mengikut pertuduhan, mereka sebagai warga asing didakwa masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

Tertuduh, Zakaria Arman, Salehudin Ali, Jaefar Amin, Osman Abbas, Alim Osman, Asen Ziyali, Taher Kasim, Ibrahim Rexiti, Nurudin Muhammad, Abdul Kader dan Yusof Ahmed berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Balai Polis Sentul, jam 10.50 pagi, 31 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 7:00am
d