mutakhir

Cuba rempuh polis, bakar BMW

Oleh Hadzlihady Hassan

TIGA penjenayah menaiki BMW memecut dan cuba merempuh anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB), selepas mereka dikesan mahu memecah masuk sebuah rumah di Taman Remia, Machang Bubok, di Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, anggota polis terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan diri, namun suspek berjaya lolos.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, susulan kejadian, polis menemui BMW 318i yang dinaiki suspek dibakar di Jalan Kuala Kangsar, Taiping, Perak, kira-kira 10 malam tadi.

Beliau berkata, anggota polis yang melepaskan tembakan itu terseliuh kaki kanan, manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.

“Setakat ini, kita masih memburu semua suspek dan semakan nombor pendaftaran mendapati kereta itu didaftar atas nama seorang lelaki yang tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, sebelum itu, tiga suspek terbabit dilihat berada di hadapan sebuah rumah seorang ejen hartanah di Taman Sejahtera Permai, di Bukit Mertajam.

Menurutnya, jiran ejen hartanah terbabit yang curiga melihat pintu pagar automatik rumahnya terbuka menghantar gambar dalam aplikasi WeChat kepada mangsa.

“Jirannya juga turut menghantar gambar kereta yang diparkir di hadapan rumah dan mangsa yang curiga melihat keadaan itu bergegas pulang.

“Bagaimanapun, semua suspek ketika itu sudah melarikan diri kerana gagal memecah masuk rumah terbabit dan jiran mangsa juga turut memaklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Menurutnya, susulan daripada itu, dua anggota URB yang sedang meronda terserempak dengan kereta suspek dan mengarahkan mereka berhenti.

“Namun, suspek enggan berhenti dan cuba merempuh anggota terbabit menyebabkan seorang daripada mereka terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan diri.

“Suspek bagaimanapun memecut kereta menuju ke Bukit Mertajam sebelum kenderaan mereka ditemui hangus di Taiping kira-kira tujuh jam selepas itu,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 10:36am
d