mutakhir

Tujuh kakitangan Media Prima tunai haji [METROTV]

Oleh Farhany Rahman

Kuala Lumpur: Seramai tujuh kakitangan warga Media Prima Berhad (MPB) akan berangkat ke Makkah bagi menunaikan haji pada tahun ini.

Mereka diraikan dalam satu majlis doa selamat yang diketuai Ustaz Fauzi Hashim di surau Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Manja Ismail serta warga kerja MPB.

Salah seorang jemaah daripada operasi teknikal, Abu Hashim Abdul Roe berkata, saat ini paling dinantikannya selepas 10 tahun menunggu giliran.

“Alhamdullilah, tahun ini akan menjadi tahun yang bermakna buat saya, menunaikan ibadat haji bersama isteri tercinta.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya ketika ini apabila dijemput untuk menjadi tetamu Allah, ” katanya.

Kakitangan bahagian Faktual dan Digital Primeworks Studio, Siti Hatija Yusof, turut gembira apabila dijemput menjadi tetamu Allah untuk kali kedua.

“Biarpun saya pergi berseorangan, perasaan teruja itu membuatkan saya tidak sabar untuk ke tanah suci. Saya amat bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik.

“Segala persiapan sudah pun dilakukan awal bagi mengelak sebarang masalah, semoga semuanya dipermudahkan Allah setibanya saya di sana nanti,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 11:11am
d