mutakhir

'Mana ada kena rasuk...' [METROTV]

Oleh Fitri Nizam

“IA hanyalah gimik untuk menarik perhatian pengunjung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” kata Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai video tular yang memaparkan dua individu dikatakan ‘dirasuk’ ketika menonton persembahan Ulek Mayang sempena promosi Visit Beautiful Terengganu (VBT).

Katanya, video berkenaan dirakam pada Oktober tahun lalu di KLIA, Sepang, Selangor.

Menurutnya, sepanjang promosi itu dilakukan, penari dari Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUKTRA) menyediakan pelbagai gimik bagi menarik perhatian orang ramai di KLIA untuk menonton persembahan sekali gus memperkenalkan kebudayaan negeri ini kepada pengunjung terutamanya pelancong asing.

“Individu yang dikatakan dirasuk ketika menonton persembahan Ulek Mayang itu adalah kakitangan SUKTRA sendiri, malah orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tahu apa sebenarnya yang berlaku di lokasi.

“Bagaimanapun, saya sendiri agak terkejut apabila video itu menjadi viral minggu ini dengan pelbagai komen oleh pengguna laman sosial yang tidak mengetahui perkara sebenar,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Bagaimanapun, Tun Ahmad Faisal berpandangan penularan video itu secara tidak langsung memberikan promosi kepada Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah sedia maklum mengenai gimik yang dicetuskan oleh penari berkenaan.

Video berdurasi 1 minit 59 saat itu dikatakan mula dimuat naik di Twitter dua hari lalu sebelum ia tular dan menjadi bualan pengguna laman sosial lain termasuk Facebook.

Di dalam klip video terbabit, aksi penari SUKTRA mempersembahkan tarian Ulek Mayang yang dikatakan ‘berhantu’ sehingga menyebabkan seorang lelaki tiba-tiba melompat naik ke pentas persembahan sebelum menyerang penari.

Selang beberapa ketika kemudian, seorang ‘pengunjung’ wanita yang menyaksikan persembahan itu tiba-tiba menjerit kononnya ‘disampuk’ sebelum dibantu beberapa individu berhampirannya.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 12:11pm
d