mutakhir

Nyaris kena tikam dengan badik

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PENGAWAL keselamatan cedera di kepala, bahu dan paha selepas dibelasah dua lelaki menggunakan topi keledar dan batang besi di Jalan Pangkalan Pandan, di Chukai, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang, lelaki berusia 38 tahun itu juga nyaris ditikam dengan badik dalam pergaduhan yang dipercayai berpunca akibat salah faham.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa didatangi dua lelaki dengan seorang daripadanya dikenali mangsa sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek berusia 43 tahun.

Beliau berkata, pertengkaran mulut bertukar serius apabila dua suspek bertindak memukul mangsa menggunakan topi keledar dan batang besi.

“Dalam pertengkaran itu, suspek turut mengeluarkan badik dan cuba menikam mangsa namun lelaki terbabit bernasib baik kerana berjaya melarikan diri.

“Kejadian itu turut disaksikan rakan mangsa sebelum dua suspek beredar meninggalkan lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pada keesokan harinya, salah seorang suspek memaklumkan dia masih tidak berpuas hati dengan mangsa dan akan mencarinya lagi,” katanya.

Mohd Said berkata, mangsa yang bimbang keselamatan diri mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chukai semalam untuk tindakan lanjut.

Katanya, dua suspek yang juga kakitangan kerajaan berusia 42 dan 43 tahun sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 1:41pm
d