mutakhir

'Selamanya, kami kenang jasa Cikgu Catherine'

Oleh Mohd Rizal Abdullah

“JASA Catherine akan kami kenang sampai bila-bila, tenanglah Catherine ‘di sana’,” kata Afifah Azhari menerusi catatan di akaun Facebook (FB) miliknya, hari ini.

Afifah adalah kakak kepada Syuhadah Azhari, 27, salah seorang penghuni yang terbabit dalam tragedi kebakaran kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan di Mulu di Miri, awal pagi tadi.

Tragedi itu mengorbankan seorang guru, Catherine Janet Tiwi, 25, yang ditemui rentung akibat terperangkap ketika cuba menyelamatkan rakan serumahnya, manakala Syuhadah pula melecur 20 peratus di bahagian muka dan badan.

Lebih lanjut catatan Afifah di FB, beliau mengakui tersentuh apabila dimaklumkan Catherine terperangkap ketika cuba menyelamatkan adiknya itu.

“Mendiang pada awalnya sudah selamat keluar, tetapi masuk semula untuk menyelamatkan adik, mengakibatkan dia yang terkorban,” katanya.

Afifah, dalam catatan lanjutnya, menjelaskan Catherine adalah rakan serumah adiknya, yang amat baik.

“Adik selalu sering bercerita kebaikan mendiang Catherine kepada saya. Jasa Catherine akan kami kenang sampai bila-bila, tenanglah Catherine di sana,” katanya.

Afifah turut memaklumkan adiknya itu sudah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan, bagaimanapun, masih lemah dan trauma.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Nor Hisham Mohamad, dalam catatan di FB turut memberi kata semangat buat bapa mangsa, Tiwi Nios, 53, yang juga seorang anggota bomba.

“Berita pagi ini pastinya tidak diundang sebagai seorang bapa, jauh sekali untuk dirai, apatah lagi jiwa dan hidup kita sebagai anggota bomba.

“Namun kita terpaksa reda bahawa setiap apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya. Tidak dapat saya bayangkan akan rasa kehilangan yang diharungi saudara dan keluarga,” katanya.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, dua kuarters sekolah berkenaan dihuni lapan individu musnah sepenuhnya menyebabkan seorang maut, dua melecur, manakala selebihnya dapat menyelamatkan diri.

Mendiang Catherine ditemui rentung ketika operasi pemadaman dilakukan pihak bomba pada 6.34 pagi tadi.

Berita berkaitan:

Panggilan 'merentap' jiwa...

Guru rentung, dua rakan melecur

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 2:45pm
d